Tujuan mengkaji riwayat hidup Rasulullah SallaLlahu 'alaihi Wasallam dan penganalisaannya bukanlah semata-mata untuk melihat kejadian-kejadian dan episod-episod yang bersejarah ataupun memaparkan cerita-cerita yang indah sahaja. Kita tidak seharusnya menganggap kajian sejarah hidup Rasulullah SallaLlahu 'alaihi Wasallam ini sama dengan membaca dan menela’ah sejarah para tokoh yang biasa.
Tujuan pokok daripada kajian sirah Rasulullah SallaLlahu 'alaihi Wasallam ialah supaya setiap muslim dapat memahami, menanggap dan menggambarkan hakikat zahir dan batin Islam yang teradun di dalam kehidupan Rasulullah SallaLlahu 'alaihi Wasallam. Gambaran dan tanggapan ini akan timbul atau wujud setelah seseorang muslim itu dapat memahami dengan benar segala hikmah dan keistimewaan prinsip-prinsip dan dasar-dasar Islam.
Tegasnya, kajian riwayat hidup Rasulullah SallaLlahu 'alaihi Wasallam adalah suatu usaha mengumpulkan hakikat dan intisari dasar-dasar Islam, kemudiannya memadan dan menyesuaikan dasar-dasar itu dengan kecontohan-kecontohan dari Nabi Muhammad SallaLlahu 'alaihi Wasallam.
Tujuan-tujuan sirah Rasulullah SallaLlahu 'alaihi Wasallam:
1. Memahami peribadi Nabi Muhammad SallaLlahu 'alaihi Wasallam menerusi penghidupan dan suasana kehidupan baginda sendiri. Kesimpulannya, Muhammad SallaLlahu 'alaihi Wasallam itu bukan sebagai manusia pintar semata-mata tetapi baginda adalah pesuruh Allah Subha Nahu Wa Ta'ala yang menerima wahyu dan taufik daripadaNya.
2. Supaya manusia seluruhnya dapat meniru dan mengikut suatu contoh yang unggul peribadi Nabi Muhammad SallaLlahu 'alaihi Wasallam dalam segenap lapangan hidup yang harmoni, untuk dijadikan sebagai dasar-dasar kehidupan. Andaikata manusia ingin mencari suatu contoh terbaik yang bersifat universal, mereka akan dapat kesemuanya di dalam kehidupan Muhammad SallaLlahu 'alaihi Wasallam. Maka, tidak hairanlah mengapa Allah Subha Nahu Wa Ta'ala menjadikan Muhammad SallaLlahu 'alaihi Wasallam sebagai contoh kepada umat manusia. Allah telah menegaskan di dalam kitab suciNya: Nabi Muhammad SallaLlahu 'alaihi Wasallam Sesungguhnya pada (diri) Rasulullah itu terdapat contoh yang paling baik untuk (menjadi ikutan) kamu." (Al-Ahzab:21)
3. Semoga kupasan tentang kehidupan Nabi Muhammad SallaLlahu 'alaihi Wasallam boleh menolong manusia memahami dan mengecapi isi kandungan Al-Quran lantaran banyaknya ayat-ayat yang dihurai dan ditafsirkan oleh kejadian-kejadian dan peristiwa-peristiwa sejarah hidup Nabi Muhammad SallaLlahu 'alaihi Wasallam.
4. Agar setiap Muslim dapat mengumpulkan sebanyak mungkin perbendaharaan kebudayaan dan pengetahuan Islam yang sebenar samada pengetahuan bersangkutan dengan 'aqidah kepercayaan, hukum hakam atau tatasusila. Lebih tegas lagi penghidupan Rasulullah SallaLlahu 'alaihi Wasallam adalah satu gambaran dengan dimensi yang jelas bagi prinsip-prinsip dan hukum-hukum Islam.
5. Membolehkan para pendidik dan penda'wah Islam mencontohi dan mengajar, mengikut sistem pendidikan dan pengajaran yang sihat kerana Muhammad SallaLlahu 'alaihi Wasallam sendiri adalah sebagai pendidik, penasihat, guru dan penunjuk yang utama. Maka para pendidik dan penda'wah Islam tidak membuang masa, malah sentiasa mencari dan menyiasat jalan-jalan dan sistem-sistem pengajaran yang terbaik dalam berdakwah.
Antara faktor yang menjadikan sejarah Nabi Muhammad SallaLlahu 'alaihi Wasallam mampu dan berupaya memenuhi tujuan-tujuan di atas ialah kerana sejarahnya lengkap dan meliputi segenap bidang kehidupan samada dari segi kemanusiaan mahupun kemasyarakatan, samada sebagai seorang individu yang bebas mahupun sebagai seorang anggota masyarakat yang cergas.
Sejarah Muhammad SallaLlahu 'alaihi Wasallam menghidangkan kepada kita sejambak contoh utama bagi seorang pemuda yang waras. Peribadinya dipercayai manusia samada di kalangan keluarga atau sahabat. Baginda menyeru manusia ke jalan Allah secara lemah-lembut dan bersopan-santun Baginda seorang pejuang yang mengorbankan sepenuh usaha dan tenaga demi menyampaikan seruan Allah. Baginda seorang ketua negara yang mengemudikan bahtera pemerintahan dengan cekap dan pintar. Baginda seorang suami dan bapa yang halus pergaulannya, teliti dan bijak menyempurnakan kewajipan terhadap anak dan isteri. Baginda seorang ketua turus angkatan peperangan yang cergas, penuh dengan teknik dan stategi persediaannya. Baginda seorang hamba Allah yang bijak membahagikan tanggungjawabnya untuk Allah, keluarga dan sahabat handai RadiyaLlahu 'anhum ajma'in.
Tidak syak lagi, bahawa mempelajari sejarah hidup Muhammad SallaLlahu 'alaihi Wasallam menyamai memahami semua sudut kemanusiaan.
Rujukan: Fiqh as-Sirah Jilid 1, Muhammad Sa'id Ramadan Al-Buti.