Kamis, 25 Agustus 2011

Kisah Nuzul Al-Quran dan Rahasianya


         Kisah ini bermula ketika mana rasulullah SAW sering kali pergi ke gua Hira’ untuk berkhalwat dan beribadah di dalamnya. Sehingga datanglah kebenaran kepada Baginda ketika mana Baginda SAW di dalam Gua Hira’ maka datang kepadanya Malaikat Jibril. Kemudian Malaikat Jibril berkata kepada Baginda SAW : Iqra’! (bacalah). Rasulullah SAW menjawab: ma ana biqariin (aku tidak tahu membaca).

         Kemudian Malaikat Jibril menarik dan memeluk Nabi SAW dengan kuat sehingga terasa kepayahan pada Baginda SAW kemudian dilepaskanya. Kemudian Malaikat Jibrail berkata lagi: Iqra’! (bacalah) jawab Baginda SAW dengan jawapan yang sama: ma ana biqariin (aku tidak tahu membaca). Jibril memeluk Rasulullah SAW buat kali kedua dengan kuat sehingga terasa kepayahan pada Baginda lalu dilepaskanya. Kemudian Malaikat Jibril mengulangi katanya untuk ketiga kalinya: Iqra’! (bacalah). Jawab Baginda dengan jawapan yang sama: ma ana biqariin (aku tidak tahu membaca). Sekali lagi Malaikat Jibril menarik dan memeluk Rasulullah SAW dengan erat dan kuat sehingga terasa kepayahan pada Rasulullah SAW, kemudian dilepaskanya dan Malaikat Jibril berkata :

ٱقۡرَأۡ بِٱسۡمِ رَبِّكَ ٱلَّذِى خَلَق    ۝   خَلَقَ ٱلۡإِنسَـٰنَ مِنۡ عَلَق    ۝    ٱقۡرَأۡ وَرَبُّكَ ٱلۡأَكۡرَمُ
Yang bermaksud: bacalah dengan nama tuhanmu, yang menjadikan manusia daripada darah, bacalah demi tuhan engkau yang mulia. (Surah Al-‘Alaq :1,2,3)
       
        Pulanglah Baginda SAW dengan ayat-ayat itu dengan hati yang takut dan gementar, lalu Rasulullah SAW meminta kepada isterinya khadijah binti khuwailid untuk menyelimutinya dengan berkata: zammiluni! (selimutkanlah aku), zammiluni! (selimutkanlah aku). Maka Khadijah pun menyelimutkan Baginda. Kemudian Baginda Saw menceritakan pada isterinya mengenai kisah yang berlaku pada dirinya dan berkata: sesungguhnya aku takut ke atas diriku. Setelah itu, khadijah menenangkan Baginda dengan berkata: Tidak sesekali! demi Allah, tidak akan Allah hinakan kamu selamanya karena sesungguhnya engkau menghubungkan silaturrahim, membantu orang yang dalam kesusahan, dan engkau memberi makan pada tetamu.

       Setelah itu, Khadijah membawa Rasulullah SAW berjumpa dengan sepupunya Waraqah bin Naufal yang merupakan seorang yang beragama Nasrani di zaman jahiliyah dan pandai menulis bahasa “ibrani. Lalu, Rasulullah SAW menceritakan apa yang berlaku pada dirinya kepada Waraqah. Kemudian Warakah berkata: apa yang engkau lihat itu adalah Malaikat Jibril yang pernah diturunkan Allah kepada Nabi Musa. Waraqah menyambung lagi kalamnya: sekiranya aku masih muda dan aku masih hidup ketika engkau diusir dan dihalau oleh kaum engkau..segera bertanya Rasulullah SAW: Adakah mereka akan mengusir aku? Jawabnya: Ya! Kerana tidak pernah ada seorang pun yang membawa risalah seumpama yang engkau bawa itu melainkan ia akan dimusuhi. Dan sekiranya aku mendapati aku masih hidup pada saat itu pasti aku akan menolong engkau dengan bersungguh-sungguh. Tidak lama kemudian Waraqah meninggal dunia.

Rahasia dan Hikmah di balik peristiwa Nuzul Al-Quran:-

1.      Permintaan malaikat Jibril kepada Nabi dan jawapan Nabi Muhammad SAW itu membuktikan bahawa Baginda seorang yang ‘ummi yang tidak tahu membaca, sekali gus membuktikan bahwa Al-Quran adalah wahyu dari Allah bukanlah rekaan Nabi Muhammad SAW seperti yang didakwa oleh kaum musyrikin ketika itu.

2.      Malaikat Jibril memeluk Nabi dengan kuat sehingga Rasulullah merasa sempit dan susah. Ini adalah kerana Malaikat Jibril hendak memberitahu dan membuktikan kepada Nabi bahwa kejadian itu adalah benar bukan hanya khayalan Baginda SAW.

3.      Wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW adalah Iqra’ (bacalah) menunjukkan bahwa betapa agama Islam itu mementingkan ilmu dalam kehidupan.

4.      Allah melahirkan rasa takut dan kagum di dalam hati Rasulullah ketika mendapat wahyu yang pertama untuk membuktikan bahwa prinsip aqidah islamiah dan perundangan islam belum pernah dilihat dan tergambar pada akal fikiran Rasulullah sebelum penurunan wahyu dari Allah.

5.      Saidatina Khadijah menyelimuti, menenangkan, dan mempercayai setiap kata-kata Baginda SAW adalah contoh yang terbaik untuk seluruh wanita yang bergelar isteri. Tugas sebagai seorang isteri adalah menyokong dan mendokong suami dalam membawa risalah islam.

6.      Setiap orang yang hendak membawa risalah islam pasti akan menerima tribulasi dan cabaran dalam perjalanan perjuangannya. Nabi Muhammad SAW dan Nabi-nabi yang sebelumnya juga menerima cacian, siksaan, dan dihalau oleh kaum mereka sendiri,bangsa mereka sendiri malah keturunan mereka sendiri. Namun semua itu adalah wasilah untuk mendapat cinta dan ridha Ilahi.


Sumber : Unit Dakwah dan Pembangunan Insan, Dewan Perwakilan Mahasiswa Tanta, Sesi 2011/2012.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar